Perlembagaan Alumni

PERLEMBAGAAN BAGI PERTUBUHAN INDUK

PERSATUAN BEKAS PELAJAR MAAHAD MUHAMMADI KOTA BHARU, KELANTAN
(ALUMNI MM)

(PPM-033-03-21052012)

FASAL 1 NAMA

(1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama
PERSATUAN BEKAS PELAJAR MAAHAD MUHAMMADI KOTA BHARU, KELANTAN (ALUMNI MM)

Selepas ini disebut “Pertubuhan“.
(2) Takrif Nama :
(3) Taraf Pertubuhan : Lain-lain


FASAL 2 TEMPAT URUSAN

Alamat berdaftar dan tempat urusan pertubuhan ialah
PEJABAT ALUMNI MAAHAD MUHAMMADI (AMM), MAAHAD MUHAMMADI LELAKI,

JALAN TOK GURU

15400 KOTA BHARU

KELANTAN


dan alamat untuk surat-menyurat adalah
PEJABAT ALUMNI MAAHAD MUHAMMADI (AMM), MAAHAD MUHAMMADI LELAKI,

JALAN TOK GURU

15400 KOTA BHARU

KELANTAN

atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke
semasa oleh Jawatankuasa;

  1. Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah
    tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3 TUJUAN/MATLAMAT

  • Membela serta menjaga kepentingan,kebajikan dan memajukan ahli;
  • Memupuk semangat perpaduan,kemesraan, saling bekerjasama selain
    mengeratkan perhubungan muhibbah di kalangan ahli-ahli khususnya dan masyarakat amnya melalui penganjuran dan penyertaan pelbagai kegiatan-kegiatan yang berfaedah;
  • Memberikan sumbangan dan perkhidmatan berteraskan amal kepada ahli,
    Maahad Muhammadi Perempuan, Maahad Muhammadi Lelaki dan masyarakat amnya;
  • Menjalankan aktiviti perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan tabung kewangan Pertubuhan. Semua wang atau keuntungan yang didapati oleh pertubuhan ini hasil daripada penyertaannya dalam mana-mana perniagaan atau pelaburan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan,memajukan dan
    menjalankan tujuan-tujuan pertubuhan ini, dan tidak sebahagian pun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli pertubuhan, sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik, untuk membayar gaji atau perbelanjaan kedua-duanya kepada mana-mana ahli atau pekerja pertubuhan ini;
  • Memberikan pendidikan dan latihan bagi meningkatkan sahsiah ahli;
  • Mengadakan dan menjalinkan hubungan dengan persatuan dan/atau pertubuhan
    lain bagi mendapatkan kerjasama demi kepentingan ahli-ahli;
  • Menjalankan pelbagai aktiviti berguna untuk membantu warga yang sedang belajar di Maahad Muhammadi Perempuan, Jalan Merbau, 15350 Kota Bharu, Kelantan dan Maahad Muhammadi Lelaki, Jalan Tok Guru, 15400 Kota Bharu, Kelantan dari segi prasarana sekolah dan meningkatkan kebajikan pelajar (termasuk pendidikan rohani dan jasmani).

FASAL 4 KEAHLIAN

  • Keahlian adalah terbuka secara automatik kepada semua bekas pelajar yang pernah belajar di Maahad Muhammadi Perempuan,Jalan Merbau, 15350 Kota Bharu, Kelantan dan Maahad Muhammadi Lelaki, Jalan Tok Guru, 15400 Kota Bharu, Kelantan (tidak kira berapa lama tempohnya), beragama Islam, berumur 18 tahun dan ke atas. Bilangan ahli tidak terhad.
  • Maklumat keahlian hendaklah dihantar kepada Setiausaha untuk dikemaskini keahlian.
  • Yuran Keahlian yang perlu dibayar adalah seperti berikut:-
    (i) Yuran Keahlian : RM20.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Sahaja)
    (ii)Yuran Tahunan : RM30.00 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh Sahaja)
    (iii)Yuran Seumur Hidup : RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja)
  • Yuran Tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu sebelum berakhir bulan Disember tiap-tiap tahun atau tarikh lain yang ditetapkan oleh Jawatankuasa dari masa ke semasa.
  • Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua (2) tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh Setiausaha I atau Setiausaha II dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.
  • Yuran-yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dijalankan dengan persetujuan Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekiranyaada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam masa yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

FASAL 5 PERBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

  • Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa.
  • Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantungkan keahlian ahli tersebut maka hendaklah Jawatankuasa mengemukakan kepadanya surat tunjuk sebab mengapa tindakan tatatertib tidak boleh diambil ke atasnya. Surat berkenaan dihantar ke alamat terakhirnya di dalam daftar ahli. Sekiranya jawapan bertulis diterima daripadanya dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh ia
    menerimanya, maka dia hendaklah diberikan peluang untuk membela diri secara bersemuka dengan Jawatankuasa.
  • Jawatankuasa hendaklah menimbangkan alasan-alasan yang diberikan olehnya sebelum membuat keputusan sama ada mendenda, menggantung atau memecat keahliannya. Keputusan Jawatankuasa hendaklah dimaklumkan kepadanya secara bertulis kepada alamat dalam daftar ahli. Keputusan Jawatankuasa ini bolehlah dirayu oleh ahli melalui usul dalam Mesyuarat Agung terdekat.
  • Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung meminda atau membatalkan keputusan Jawatankuasa.

FASAL 6 SUMBER KEWANGAN

1. Sumber kewangan Pertubuhan boleh diperolehi:

  • Yuran dan kutipan wang daripada ahli;
  • Bantuan dari Kerajaan atau badan-badan yang dibenarkan;
  • Hasil-hasil persembahan dan perniagaan Persatuan;
  • Sumbangan atau dana bantuan dari orang ramai; dan
  • Sumber-sumber lain yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

2. Ahli-ahli boleh untuk memberi sumbangan dan dimasukkan kepada Pertubuhan dan Pertubuhan boleh menerima sebarang bentuk sumbangan termasuk duit daripada ahli-ahli daripada mana-mana sumber yang diperolehi dan sumbangan barangan yang boleh dijadikan aset kepada Pertubuhan.

3. Kegiatan ekonomi boleh dilaksanakan oleh Pertubuhan melalui ahli-ahlinya untuk menambah dana pertubuhan dengan menjalankan apa saja bentuk kegiatan ekonomi yang halal dan memberi manfaat kepada ahli dan pertubuhan.


FASAL 7 MESYUARAT AGUNG

1) Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi
atau sama jumlah Ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah
hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan
mencukupkan korum untuk mesyuarat.

2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir
menjalankan mesyuarat tetapi tidak berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

3) Mesyuarat Agung bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.

4) Kerja-kerja Mesyuarat Agung ialah:

  • Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun yang sebelumnya;
  • Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
  • Memilih Ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-kira;
  • Membahaskan Usul Rayuan Keahlian yang tergantung atau dipecat;
  • Membahaskan, menerima atau menolak Usul-usul Jawatankuasa dan ahli-ahli;
  • Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

5) Setiausaha I hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya lima belas (15) hari sebelum Mesyuarat Agung diadakan satu agenda mesyuarat yang antara lain mengandungi termasuklah:

  • Surat peringatan mesyuarat;
  • Laporan jawatankuasa dan kegiatan persatuan;
  • Penyata kira-kira Persatuan teraudit bagi tahun sebelumnya;
  • Surat pemberitahuan Usul; dan
  • Lain-lain perkara berkaitan dengan Mesyuarat Agung.

Satu salinan Agenda Mesyuarat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dirujuk oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.


6) Mana-mana ahli yang ingin mengemukakan usul untuk dibahaskan semasa Mesyuarat Agung hendaklah dia mengemukakannya secara bertulis kepada Setiausaha I tidak lewat daripada tujuh (7) hari (termasuk hari penyampaian) daripada tarikh Mesyuarat Agung itu akan diadakan. Apabila menerima pernyataan bertulis usul berkenaan, Setiausaha I hendaklah memasukkannya dalam Mesyuarat Agung berkenaan untuk dibahaskan oleh para ahli semasa Mesyuarat Agung itu berlangsung. Usul yang dibahaskan dan diundi hendaklah gugur sekiranya ia ditolak oleh para ahli mesyuarat melalui undi terbanyak menolaknya atau undi sama banyak.

7) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:

  • Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa; atau
  • Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh ahli-ahli tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha I Pertubuhan.

8) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada
satu tarikh di dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penerimaan permintaan
mesyuarat itu.

9) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha I kepada semua ahli sekurang-kurangnya lima belas (15) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

10) Fasal 7 (1) dan 7 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa enam (6) bulan dari tarikh ini, Masyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.

11) Setiausaha I hendaklah menghantar ahli satu salinan minit Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

12) Setiausaha I hendaklah dalam masa enam puluh (60) hari dari tarikh Mesyuarat Agung diadakan mengirimkan Penyata Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Akta Pertubuhan.


FASAL 8 JAWATANKUASA

1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan yang mana, kecuali jawatan pada (g), (h), (i), (j), (k), (l), (m) dan (n) di bawah, hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung:

  • a) Yang Dipertua
  • b) Timbalan Yang Dipertua I
  • c) Timbalan Yang Dipertua II
  • d) Naib Yang Dipertua I
  • e) Naib Yang Dipertua II
  • f) Naib Yang Dipertua III
  • g) Naib Yang Dipertua IV
  • h) Naib Yang Dipertua V
  • i) Setiausaha I
  • j) Setiausaha II
  • k) Penolong Setiausaha I
  • l) Penolong Setiausaha II
  • m) Bendahari
  • n) Penolong Bendahari
  • o)10 orang Ahli Jawatankuasa Biasa

Penjawat pada (g) dan (h) adalah secara ex-officio sebagaimana Fasal 9(3)(v) dan
(vi). Penjawat pada (i) hingga (n) adalah dilantik oleh Yang Dipertua dalam
Mesyuarat Jawatankuasa. Penjawat pada (a) hingga (j) dan (m) hendaklah secara
kolektif dirujuk sebagai Majlis Eksekutif Jawatankuasa.

2) Nama untuk jawatan yang hendak dipilih di Fasal 8(1) di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihannya dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung. Semua pegawai boleh dilantik semula.

3) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa tidak boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun sebelumnya kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung.

4) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam tempoh tiga (3) bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli Jawatankuasa tujuh (7) hari terlebih dahulu.Yang Dipertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang Ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada
bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada Ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

5) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan maka Setiausaha I bolehlah mengadakan mesyuarat Majlis Eksekutif Jawatankuasa untuk mendapatkan kelulusan Ahli-Ahli Majlis Eksekutif Jawatankuasa. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum Majlis Eksekutif Jawatankuasa
boleh dianggap sebagai telah diterima:

  • Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam mesyuarat Majlis Eksekutif Jawatankuasa;
  • Sekurang-kurangnya enam (6) orang daripada ahli Majlis EKsekutif Jawatankuasa hendaklah hadir di dalam mesyuarat bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupkan korum untuk mesyuarat;
  • Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Ahli Majlis Eksekutif Jawatankuasa yang hadir mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
  • Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak;

Sebarang keputusan yang didapati melalui mesyuarat Majlis Eksekutif Jawatankuasa hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha I kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

6) Pegawai Pertubuhan yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

7) Jika seseorang Pegawai Pertubuhan yang dipilih sebagaimana Fasal 8(1)(o) di atas dilantik untuk menjawat mana-mana jawatan dalam Fasal 8(1)(i) hingga (n), meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yag kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu.jika calon yang sedemikian tidak ada atau menlak jawatan itu, maka
berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam Mesyuarat Agung diadakan.

8) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada mana-mana Pegawai Pertubuhan untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang,tidak cekap, ingkar mejalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab
yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

9) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberi kewajipan khas kepada mana-mana Pegawai Pertubuhan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kecil tersebut.


FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

1) Yang Dipertua adalah Pegawai Utama Pertubuhan dan penjawatnya hendaklah seorang lelaki. Yang Dipertua dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha I dan Bendahari.

2) Timbalan-timbalan yang Dipertua ialah Pegawai-pegawai yang kedua dari segi kekananan Pertubuhan selepas Yang Dipertua.


i) Penjawat Timbalan Yang Dipertua I akan memangku jawatan Yang Dipertua dan
menjalankan tugas-tugas Yang Dipertua semasa ketiadaannya. Timbalan Yang
Dipertua I berperanan sebagai Pegawai Perhubungan Pertubuhan dengan pihak
Kerajaan, Badan Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak-pihak
yangberkenaan dengannya.

ii) Penjawat Timbalan Yag Dipertua II akan memangku jawatan Yang Dipertua dan menjalankan tugas-tugas Yang Dipertua semasa ketiadaan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua I. Timbalan Yang Dipertua II bereperanan sebagai Pegawai Perhubungan Pertubuhan dengan Institusi Pendidikan Awam dan/atau Swasta serta pihak-pihak yang berkenaan dengannya.

3) Naib-naib Yang Dipertua ialah Pegawai-pegawai yang ketiga dari segi
kekananan Pertubuhan selepas Yang Diertua dan Timbalan-Timbalan Yang
Dipertua.

i) selain daripada Naib Yang Dipertua IV dan Naib Yang Dipertua V, Penjawat-
penjawat Naib Yang Dipertua boleh, dengan persetujuan Yang Dipertua, menjalankan tugas-tugas mana -mana Timbalan Yang Dipertua semasa ketiadaan mana-mana Timbalan Yang Dipertua berkenaan.

ii) Penjawat Naib Yang Dipertua I berperanan sebagai Pegawai perhubungan Pertubuhan dengan para Bekas pelajar Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Awam dan/atau Swasta dalam pelbagai peringkat pengajian.

iii) Penjawat Naib Yang Dipertua II berperanan sebagai Pegawai Perhubungan Pertubuhan dengan pasa Bekas Pelajar Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan yang berusia lebih 55 tahun.

iv) Penjawat Naib Yang Dipertua III berperanan sebagai Pegawai Perhubungan Persatuan dengan Badan Buka Kerajaan,Badan Professional dan Kelab Sukarelawan.

v) Penjawat Naib Yang Dipertua IV adalah Pegawai Ex-Officio dan Penjawatnya hendaklah dikhususkan kepada Pengetua Maahad Muhammadi Lelaki, Jalan Tok Guru, 15400 Kota Bharu, Kelantan dan berperanan sebagai Pegawai Perhubungan Persatuan dengan pihak sekolah tersebut.

vi) Penjawat Naib Yang Dipertua V adalah Pegawai Ex-Officio dan Penjawatnya hendaklah dikhususkan kepada Pengetua Maahad Muhammadi Perempuan, Jalan Merbau, 15350 Kota Bharu, Kelantan dan berperanan sebagai Pegawai Perhuungan Persatuan dengan pihak sekolah tersebut.


4) Setiausaha ialah Pegawai Pentadbiran Utama Pertubuhan. Kecuali dinyatakan dengan jelas, mana-mana rujukan terhadap jawatan dan penjawat Setiausaha di dalam Undang-Undang Tubuh Pertubuhan hendaklah difahami sebagai rujukan terhadap Setiausaha I atau Setiausaha II.
i) Penjawat Setiausaha I hendaklah:

  • a) menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa.
  • b) hadir didalam semua mesyuarat dan hendaklah menandatangan semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari.
  • c) menyimpan Meterai Pertubuhan.
  • d) bertanggugjawab dalam segala urusan surat-menyurat dengan semua pihak.
  • e) menyediakan kertas-kertas pembentangan dalam mesyuarat, kertas-kertas kerja dalaman dan luaran bagi aktiviti-aktiviti Pertubuhan.


ii) Penjawat Setiausaha II bertanggungjawab serta menguruskan:

  • a) Mencatat dan menyimpan Daftar minit mesyuarat dan semua rekod berkaitan notis, catatan perjalanan mesyuarat dan sebagainya.
  • b) Tidak terhad hanya kepada menyimpan semua buku, surat dan kertas kerja, naskhah perundangan,kontrak/perjanjian kecuali akaun dan buku-buku kewangan.
  • c) Hendaklah menyimpan serta mengemaskini buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir,nombor kad pengenalan,pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli.
  • d) Mengemaskini laman web dan facebook Pertubuhan.

5) Penolong-Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha. Penjawat Penolong Setiusaha I hendaklah membantu Setiausaha I dalam menjalankan tugas- tugasnya.Penjawat Penolong Setiausaha II hendaklah membantu Setiausaha II dalam menjalankan tugas-tugsanya.

6) Bendahari ialah Pegawai Kewangan Utama Pertubuhan. Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan termasuk urusan meningkatkan tabung kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Setiausaha I.

7) Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari menjalankan tugasnya dan memangku tugas Bendahari semasa ketiadaannya.

8) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan oleh Jawatankuasa terhadapnya. Penjawat Ahli Jawatankuasa Biasa adalah terbuka untuk lelaki dan perempuan dalam nisbah yang sama banyak.

9) Mana-mana tindakan yag dibuat oleh Jawatankuasa hendaklah secara suci hati dan demi kepentingan tujuan dan matlamat Pertubuhan. Tindakan berkenaan adalah tanggungan secara bersesama melainkan dapat dibuktikan sebaliknya. Pertuuhan akan menanggung dan mellepaskan Jawatankuasa daripada apa-apa tanggungan jika tindakan yang dilakukan oleh Jawatankuasa adalah suci hati dan demi kepentingan tujuan dan matlamat Pertubuhan.


FASAL 10 KEWANGAN

1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini, wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuk belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada Ringgit Malaysia Satu Ribu (RM1,000.00) sahaja pada satu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Akaun bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh dua daripada tiga penjawat Yang Dipertua, Setiausaha I dan Bendahari. Semasa ketiadaan Yang Dipertua, Setiausaha I atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka
sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.

4) Perbelanjaan yang lebih daripada Ringgit Malaysia Satu Ribu (RM1,000.00) sahaja sehingga Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu (RM50,000.00) sahaja bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Mesyuarat Eksekutif Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih daripada Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu (RM50,000.00) sahaja sehingga Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu (RM100,000.00) sahaja bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Mesyuarat Jawatankuasa. Perbelanjaan melebihi Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu (RM100,000.00) sahaja bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu.


5) Penyata perihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan oleh Mesyuarat Agung yang berikut dan
salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.

6) Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember tiap-tiap tahun.


FASAL 11 JURUAUDIT

1) Dua orang yang bukannya Pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung sebagai Pemeriksa Kira-Kira Kehormat. Mereka boleh dilantik semula.

2) Pemeriksa Kira-Kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung. Mereka harus juga jika dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertua mengaudit akaun Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.


FASAL 12 PENTADBIR HARTA / PEMEGANG AMANAH

1) Pertubuhan mempunyai kuasa untuk mempunyai dan/atau memiliki apa-apa harta melalui cara membeli, menyewa, memajak apa-apa harta berkenaan selaras dengan tujuan perolehannya.

2) Harta berkenaan boleh dipajak, dicagar, disewa, dijual dengan apa-apa balasan yang munasabah oleh Jawatankuasa.

3) Mana-mana harta hendaklah didaftarkan atas nama Pertubuhan melainkan terdapat peruntukan atau syarat yang menghalang atau menyekatnya, maka harta berkenaan bolehlah diamanahkan kepada Pemegang Amanah.

4) Mana-mana harta yang hendak dilupuskan, dijual dan/atau dicagar hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan Mesyuarat Agung.

5) Jawatankuasa hendaklah menetapkan kaedah-kaedah pengurusan harta berkenaan. Bagi urusan suratcara semua harta Pertubuhan hendaklah disempurnakan oleh Yang Dipertua, Setiausaha I dan Bendahari dan dipersaksikan oleh dua Pegawai Pertubuhan dan/atau dimeteraikan dengan meterai Pertubuhan.

6) Tiga orang Pemegang amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat sebagai Pentadbir Harta selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan dimanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Ikatan Amanah. Mana-mana harta Persatuan yang diletakkan atas nama
Pemegang Amanah hendaklah menjadi kepunyaan dan milikan Pertubuhan walaupun tiada Surat Ikatan Amanah. Semua belanja yang terlibat dalam mengurus dan mentadbir harta berkenaan termasuklah pembayaran sagu hati hendaklah ditanggung oleh Pertubuhan.

7) Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau menukarkan milik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.

8) Seseorang Pemegang Amanah boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku
kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu dilantik di dalam Mesyuarat Agung.


FASAL 13 TAFSIRAN PERLEMBAGAAN PERTUBUHAN

1) Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan Pertubuhan dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan Persatuan ini.

2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat di dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankusa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.


FASAL 14 PENASIHAT / PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat dan Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.


FASAL 15 LARANGAN

1) Semua permainan yang berunsurkan Perjudian, Pertaruhan dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan seperti Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pau Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puloh Satu, Tiga Puloh Satu, Sepuloh;

2) Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;

3) Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.


FASAL 16 PINDAAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung ahli-ahli. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai dari tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 17 PEMBUBARAN

1) Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dan hadir dalam satu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya;

2) Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan;

3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.